Friday, October 15, 2010

AWAK PERCAYA PADA TAKDIR?

 Percaya atau tidak, anda kena percaya juga pada takdir/qada' dan qadar. Kenapa? Ini kerana anda akan belajar untuk maju dalam hidup setelah menempuh pelbagai kisah hidup anda. Apa yang terjadi dalam hidup anda tidak perlulah anda berkeluh-kesah dalam menempuhnya. Setiap yang berlaku dalam hidup anda, jadikan ianya sebagai titik tolak dalam kehidupan anda.
Sekiranya anda pernah hidup susah, ditinggalkan kekasih, mengalami kegagalan dalam pelajaran/kerjaya atau apa sahaja yang membuatkan anda patah semangat untuk hidup, jangan jadikan itu alasan untuk anda malas untuk bangun dari kecelakaan yang berlaku dalam hidup anda.
Percaya pada takdir bukan untuk membuat anda menjadi seseorang yang tidak bersemangat. Tetapi, percaya pada takdir adalah, percaya yang takdir itu boleh di ubah. Oleh itu, janganlah menganggap takdir yang buruk pada diri anda akan kekal buruk, dan jangan pula menganggap takdir yang baik itu, kekal selamanya dengan anda. Yang buruk harus di ubah, yang baik harus dikekalkan. Yang penting anda jangan sesekali berserah segalanya pada takdir. Kerana, ianya umpama anda tidak berbuat apa-apa langsung dalam hidup anda.
Setiap manusia, tidak kira peringkat umur, warna kulit dan juga agama, masing-masing mempunyai jalan hidup yang berbeza, tetapi arah tujuan yang sama. Setiap ujian juga berbeza bagi setiap manusia. Kenapa? Kehidupan ini adalah satu ilmu yang perlu dikongsi bersama. Ilmu kekayaan, kebahagiaan dan juga kesusahan harus dikongsi sesama manusia, untuk sama-sama lebih mengenal erti kehidupan yang sebenar. Hidup menyendiri dan hanya berserah pada takdir, tidak akan membantu apa-apa dalam hidup anda. Jadi sentiasalah perbaiki diri, untuk memastikan takdir yang buruk akan pergi dan diganti dengan takdir yang baik. Jangan berhenti berusaha dalam mengejar apa yang dicitakan dalam hidup.
Akhir sekali ingatlah kata-kata ini, "Jika Salah Tadbir akan Jadi Takdir". Anda yang menentukan perjalanan hidup anda. Bermulalah dengan langkah kanan, dan berakhir dengan langkah kanan juga. Selamat Maju Jaya!
Bye...

3 comments: